Sunday, March 27, 2011

Urutan peristiwa

Persidangan Clermont

Pada Mac 1095, Alexius I menghantar utusan ke Persidangan Piacenza untuk meminta bantuan Urban II menentang orang Turki. Permintaan maharaja itu mendapat jawapan yang menggalakkan daripada Urban yang berharap agar mengubati Perpecahan Besar 40 tahun sebelumnya dan menyatukan kembali gereja di bawah kekuasaan Pope sebagai "ketua bishop dan paderi ke atas seluruh dunia" (seperti yang dirujuknya terhadap dirinya sendiri di Clermont) dengan membantu gereja Timur pada masa mereka memerlukannya.

Persidangan Piacenza telah mengukuhkan kuasa pope di Itali semasa tempoh krisis pope (seramai lebih 3000 orang paderi dan lebih kurang 30 000 orang sukarelawan gereja menghadirkan diri; begitu juga dengan perwakilan-perwakilan Timur yang merayu 'bantuan Dunia Kristian menentang "orang kafir"'). Setelah matlamat Pope Urban II untuk mengukuhkan kuasanya di Itali tercapai, dia sekarang dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap usaha menyeru dan mengambil tindakan untuk Perang Salib yang menjadi tujuan asal kehadiran perwakilan-perwakilan Timur dari Empayar Byzantine. Urban juga menyedari bahawa Itali bukanlah kawasan yang dapat "menyedari cetusan semangat keagamaan dengan panggilan Pope; seorang yang juga memiliki gelaran yang masih dipertikaikan". Gesaannya untuk memujuk "ramai orang supaya berjanji dengan bersumpah untuk membantu maharaja Byzantine dengan tulus hati sekadar kemampuan mereka dalam menentang penyembah berhala" hanya membuahkan hasil yang sedikit.

Di Persidangan Clermont, hadirin berkumpul di tengah-tengah Perancis pada 27 November 1095, Urban menyampaikan khutbah yang penuh perasaan kepada sekumpulan besar pendengar yang terdiri daripada bangsawan dan paderi Perancis. Dia mengajak para pendengar supaya merebut penguasaan Baitul Maqdis dari tangan orang Islam. Perancis, ujarnya, penuh sesak dan tanah Kan'an dilimpahi dengan susu dan madu. Dia bercakap mengenai masalah-masalah keganasan para bangsawan dan penyelesaiannya adalah dengan mengalihkan pedang kepada tugas Tuhan itu sendiri: "Biarkan para perompak menjadi kesatria". Dia bercakap mengenai ganjaran di dunia dan di langit, perlepasan daripada dosa ditawarkan kepada sesiapa sahaja yang mati dalam perang ini. Urban menjanjikan perkara ini melalui kuasa Tuhan yang dikurniakan kepadanya. Orang ramai dipanaskan oleh keghairahan yang kegila-gilaan dan mengganggu ucapannya dengan teriakan 'Deus lo volt'! (Itu adalah kehendak Tuhan).

Khutbah Urban adalah antara ucapan-ucapan paling penting dalam sejarah Eropah. Terdapat banyak wersi yang dicatatkan, tetapi semuanya ditulis setelah Baitulmaqdis ditawan, dan sukar untuk dikenalpasti apa sebenarnya yang diperkatakan dan apa yang telah direka semula ekoran kejayaan perang salib pertama itu. Bagaimana pun, jelas bahawa gerak balas terhadap ucapan tersebut lebih besar daripada yang dijangkakan. Pada hujung 1095 dan awal 1096, Urban menyebarkan mesej tersebut ke seluruh Perancis, dan menggesa para biskop dan duta Vatikannya supaya menyampaikan mesej tersebut dalam kawasan keuskupan masing-masing di Perancis, Jerman dan Itali. Urban cuba melarang orang tertentu (wanita, rahib dan orang sakit) daripada menyertai perang salib, sebaliknya mendapati perkara ini hampir mustahil dilakukan. Kesudahannya majoriti mereka yang menyahut seruan tersebut bukanlah para kesatria, tetapi petani-petani yang miskin dan mempunyai sedikit kemahiran berperang, tetapi mereka yang berkeinginan millennialisme dan apokaliptisme mendapati kebebasan daripada tekanan harian dalam kehidupan mereka, dalam curahan perasaan satu kewarakan emosi dan perseorangan baru yang tidak mudah dimanfaatkan oleh gereja dan golongan aristokrat.

Perang Salib Orang Awam

Urban merancang perlepasan tentera salib pada 15 Ogos 1096 (Pesta Kenaikan Maryam ke Langit), tetapi beberapa bulan sebelum itu sejumlah tentera petani yang tidak dijangkakan dan kesatria bawahan berkumpul dan bertolak ke Baitulmaqdis bersendirian. Mereka diketuai oleh seorang rahib berkarisma dan pemidato berpengaruh yang bernama Peter dari Amiens. Tindak balas adalah di luar jangkaan: ketika Urban menjangkakan beberapa ribu orang kesatria sahaja, kesudahannya seramai 100,000 menyertai pergerakan itu — namun begitu kebanyakannya adalah pejuang-pejuang yang tidak berkemahiran termasuklah wanita dan kanak-kanak.

Kekurangan disiplin tentera, dan dengan apa yang dilihat oleh para peserta sebagai tanah yang ganjil dengan adat resam yang ganjil, tentera-tentera Salib pertama dengan segera menjejakkan kaki di wilayah Kristian dalam keadaan diselubungi kesulitan. Masalah yang dihadapi mereka adalah bekalan dan juga budaya: orang ramai perlukan makanan dan bekalan, dan mereka menjangkakan bandar-bandar tuan rumah akan memberi kepada mereka makanan dan bekalan — atau sekurang-kurangnya menjual kepada mereka dengan harga yang berpatutan. Kerana mereka terlalu awal meninggalkan Eropah Barat, mereka terlepas penuaian besar-besaran musim bunga ketika itu, disambung pula dengan tahun-tahun kemarau dan hasil tuaian yang buruk. Malang bagi tentera Salib, penduduk tempatan tidak selalunya bersetuju, dan ini dengan cepat membawa kepada pertelagahan dan pertempuran kecil. Dalam perjalanan menyusuri Sungai Danube, para pengikut Peter menjarah wilayah Bulgaria dan telah diserang oleh orang-orang Hungary, Bulgaria dan malahan tentera Byzantine dekat Nish. Hampir seperempat daripada pengikut Peter terbunuh, tetapi yang lainnya tiba di Constantinople dalam bulan Ogos. Constantinople adalah bandar besar di Eropah pada masa itu, tetapi "tentera" Peter juga amat besar bilangannya, dan perbezaan budaya serta keengganan untuk menyalurkan bekalan kepada orang-orang yang sebegitu besar jumlahnya membawa kepada ketegangan. Selanjutnya di Constantinople, para pengikut Peter bukanlah satu-satunya kumpulan tentera Salib - mereka menyertai tentera-tentera Salib lain dari Perancis dan Itali. Alexius yang tidak tahu apa patut dibuat lagi terhadap tentera (asing) yang besar dan ganjil itu, dengan pantas mengangkut mereka merentasi Selat Bosporus.

Setelah merentasi Asia Kecil, tentera Salib mula bertelagah dan pasukan tentera itu berpecah kepada dua kem berasingan. Orang Turki berpengalaman, cerdik dan mempunyai pengetahun tempatan; kebanyakan tentera Perang Salib Orang Awam - sekelompok pejuang amatur dan wanita tidak bersenjata - telah dibunuh beramai-ramai sebaik sahaja memasuki wilayah Seljuk. Bagaimana pun, Peter terselamat dan kemudiannya menyertai pasukan utama tentera Salib. Pasukan tentera lain yang terdiri daripada orang Bohemia dan Saxon tidak sempat melepasi Hungary sebelum ia bercerai-berai.

Perang Salib Jerman


Ilustrasi Bible Perancis (1250) yang menggambarkan orang Yahudi (ditandai dengan Judenhut) dibunuh beramai-ramai oleh tentera Salib

Perang Salib Pertama telah menyalakan tradisi panjang keganasan terancang terhadap orang Yahudi dalam budaya Eropah. Ketika mana anti-Semitisme telah wujud di Eropah berabad-abad lamanya, Perang Salib Pertama menandakan keganasan terancang besar-besaran pertama terhadap masyarakat Yahudi. Di Jerman, pemimpin-pemimpin tertentu memahami perang terhadap orang kafir ini dapat digunapakai tidak sahaja kepada orang Islam di Tanah Suci, malah juga kepada orang Yahudi di tanahair mereka. Bertolak pada awal musim panas tahun 1096, sepasukan tentera Jerman dengan bilangan sekitar 10,000 orang askar yang diketuai oleh Gottschalk, Volkmar, dan Emicho mara ke arah utara melalui lembah Sungai Rhine, berlawan arah dengan Baitul Maqdis, dan memulakan satu siri progrom yang disebut sesetengah sejarawan sebagai "Holocaust pertama".[1] Bagaimana pun, pemahaman idea perang salib ini tidak bersifat universal, dan orang Yahudi menerima perlindungan di tempat-tempat suaka, sebagai contohnya cubaan Ketua Biskop Cologne untuk melindungi orang Yahudi bandar tersebut daripada disembelih oleh penduduk bandar tersebut.

Anjuran perang salib mengilhamkan lagi anti-Semitisme. Menurut beberapa pengajar, orang Yahudi dan Islam adalah musuh al-Masih, serta musuh yang perlu diperangi atau dipaksa memeluk agama Kristian. Orang ramai nampaknya menganggap bahawa "memerangi" bererti "memerangi sehingga mati", atau "membunuh". Penaklukan Baitul Maqdis oleh orang Kristian dan penubuhan maharaja Kristian di situ dikatakan akan memulakan Hari Kiamat, semasa orang Yahudi dikatakan akan memeluk agama Kristian. Di beberapa tempat di Perancis dan Jerman, orang Yahudi dituduh bertanggungjawab terhadap penyaliban Jesus, dan mereka lebih segera kelihatan berbanding orang Islam yang berada nun jauh di sana. Ramai orang tertanya-tanya mengapa mereka perlu mengembara ribuan batu semata-mata untuk memerangi orang yang tidak beriman walhal ada orang yang tidak beriman di tanahair mereka sendiri.

Tentera salib bergerak ke utara melalui lembah Rhine masuk ke dalam masyarakat-masyarakat Yahudi yang dikenali ramai seperti di Cologne, dan kemudian ke arah selatan. Masyarakat Yahudi diberi pilihan samada memeluk agama Kristian atau akan disembelih. Kebanyakan mereka tidak memeluk agama Kristian dan, apabila berita pembunuhan beramai-ramai tersebar luas, banyak masyarakat Yahudi melaksanakan pembunuhan diri beramai-ramai dalam pemandangan yang mengerikan. Ribuan orang Yahudi dibunuh beramai-ramai, di sebalik beberapa cubaan oleh pendeta Kristian dan pihak berkuasa sekular tempatan untuk memberi perlindungan kepada mereka. Pembunuhan beramai-ramai itu dihalalkan oleh dakwaan bahawa ucapan Urban di Clermont menjanjikan balasan ganjaran daripada Tuhan atas pembunuhan orang bukan Kristian tanpa mengira kelompok, bukan sahaja orang Islam. Walaupun pihak Pope membenci dan menganjurkan pembersihan penduduk Islam dan Yahudi semasa perang salib ini dan akan datang, terdapat banyak serangan ke atas orang Yahudi pada setiap gerakan perang salib.

Perang Salib Pengiran/Bangsawan


Laluan pemimpin-pemimpin Perang Salib Pertama

Perang Salib Pengiran, juga dikenali sebagai Perang Salib Baron, dilancarkan kemudian pada tahun 1096 dalam bentuk yang lebih terancang dan dipimpin oleh pelbagai bangsawan beserta pasukan-pasukan kesatria dari pelbagai kawasan di Eropah. Empat buah pasukan yang paling nyata di kalangan mereka ini ialah Raymond IV dari Toulouse yang mewakili kesatria-kesatria dari Provence, dan ditemani oleh duta Vatikan, Adhemar dari Le Puy; Bohemond dari Taranto yang mewakili bangsa Norman dari selatan Itali bersama anak saudaranya, Tancred; orang Lorraine di bawah pimpinan Godfrey adik beradik, Eustace dan Baldwin dari Boulogne; orang Perancis utara pimpinan Count Robert II dari Flanders, Robert dari Normandy (abang Raja William II dari England), Stephen, Count Blois, dan Hugh dari Vermandois (adik Raja Philip I dari Perancis) yang membawa panji-panji Pope[2]. Raja Philip sendiri dilarang menyertai kempen itu kerana dia telah dikucilkan oleh gereja (excommunication).

Berarak ke Baitul Maqdis

Meninggalkan Eropah sekitar waktu yang ditetapkan dalam bulan Ogos, pelbagai pasukan tentera itu mengambil pelbagai laluan berbeza ke Constantinople dan berkumpul di luar dinding bandar itu antara November 1096 dan Mei 1097, dua bulan selepas penghancuran pasukan tentera Perang Salib Orang Awam oleh orang-orang Turki. Menemani para kesatria ini adalah orang-orang miskin yang mampu menyediakan pakaian asasi dan mungkin senjata lama. Peter Si Pertapa yang menyertai Perang Salib Pengiran di Constantinople dianggap bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka, dan mereka mampu mengatur diri mereka sendiri ke dalam kumpulan-kumpulan kecil, mungkin seakan-akan ketumbukan tentera, yang kerap kali dipimpin oleh seorang kesatria yang jatuh miskin. Salah satu pasukan terbesar di kalangan tentera-tentera ini yang terdiri daripada mereka yang terselamat semasa Perang Salib Orang Awam menamakan diri sebagai "pasukan Tafur".

Para pengiran tiba di Constantinople dengan bekalan makanan yang sedikit dan bantuan daripada Alexius I. Alexius sememangnya difahami berasa sangsi selepas merasai pengalaman Perang Salib Orang Awam, dan juga kerana para kesatria itu terdiri daripada musuh lamanya orang Norman, Bohemond. Pada masa yang sama, Alexius meletakkan harapannya untuk mengawal tentera-tentera salib itu yang dilihatnya mempunyai berpotensi untuk berfungsi sebagai proksi Byzantine.

Oleh itu, sebagai balasan untuk makanan dan bekalan, Alexius meminta para pemimpin itu supaya bersumpah taat setia kepadanya dan berjanji untuk memulangkan sebarang kawasan yang ditawan kembali daripada orang Turki kepada Empayar Byzantine. Tanpa makanan atau bekalan, mereka akhirnya tiada pilihan selain membuat ikrar tersebut, walaupun mereka tidak berbuat demikian sehinggalah semua pihak bersetuju untuk bertolak ansur, dan hanya setelah pertempuran hampir meletus di luar bandar. Hanya Raymond yang mengelak bersumpah, dengan pintar mencagarkan dirinya sendiri kepada Alexius jika maharaja itu sendiri akan memimpin perang salib. Alexius menolak, tetapi kedua-dua mereka menjadi sekutu yang berkongsi ketidakpercayaan yang sama terhadap Bohemond.


Empayar Byzantine sebelum Perang Salib Pertama


Empayar Byzantine dan negeri-negeri Salibi selepas Perang Salib Pertama

Alexius bersetuju untuk mengirim sepasukan tentera Byzantine di bawah perintah Taticius untuk menemani tentera salib merentasi Asia Kecil. Matlamat pertama mereka ialah Nicea, sebuah bandar lama Byzantine, tetapi kini telah menjadi ibukota Kesultanan Rum Seljuk di bawah pemerintahan Kilij Arslan I. Bandar itu tertakluk kepada pengepungan yang panjang, yang agak kurang berkesan kerana tentera salib tidak dapat menyekat tasik di tempat bandar itu terletak dan menjadi sumber bekalan bagi bandar itu. Dari sebelah luar bandar itu, Arslan menasihatkan garison bandar supaya menyerah kalah sekiranya mereka tidak mampu bertahan lagi. Alexius yang khuatir sekiranya tentera salib akan menjarah Nicea dan memusnahkan kekayaannya, secara rahsia menerima penyerahan diri bandar itu; tentera salib yang bangun pada pagi 19 Jun 1097 hanya mampu menyaksikan panji-panji Byzantine berkibar di atas tembok kota. Tentera salib dilarang menjarah bandar itu, dan tidak dibenarkan masuk ke dalamnya kecuali dalam pasukan kecil yang diiring. Ini menyebabkan lagi perselisihan antara Byzantine dan tentera salib. Tentera salib kini memulakan perjalanan ke Baitul Maqdis. Stephen dari Bolis menulis kepada tanahairnya, menyatakan bahawa dia percaya perjalanan itu akan memakan masa selama lima minggu. Hakikatnya, perjalanan itu mengambil masa selama dua tahun.

Tentera salib yang masih ditemani oleh beberapa askar di bawah perintah Ttaicius, berarak ke Dorylaeum, tempat Bohemond diperangkap oleh Kilij Arslan. Dalam Pertempuran Dorylaeum pada 1 Julai, Godfrey memecah masuk barisan tentera Turki, dan dengan bantuan askar-askar yang dipimpin oleh Adhemar, menewaskan orang Turki dan menjarah kem mereka. Kilij Arslan berundur dan tentera salib berarak hampir tanpa tentangan melalui Asia Kecil menuju ke Antioch, kecuali satu pertempuran pada September yang dalam pertempuran itu mereka sekali lagi menewaskan orang Turki. Sepanjang jalan, tentera salib dapat menawan sejumlah bandar seperti Sozopolis, Iconium dan Caesarea walaupun kebanyakan bandar ini jatuh kembali ke tangan orang Turki pada tahun 1101.[3]

Perarakan melalui Asia ini tidak menyenangkan. Ketika itu adalah di tengah-tengah musim panas dan tentera salib mempunyai hanya sedikit bekalan makanan dan air; ramai yang mati, begitu juga dengan kuda-kuda. Orang Kristian di Asia seperti di Eropah, kadang kala memberi makanan dan wang, tetapi kerap kali tentera salib menjarah dan merompak setiap kali berpeluang. Pemimpin-pemimpin perseorangan terus bertelagah mengenai kuasa pimpinan keseluruhan, walaupun tiada seorang pun daripada mereka yang cukup berkuasa untuk memberi arahan; pun begitu, Adhemar selalu diiktiraf sebagai pemimpin kerohanian. Setelah melepasi Pintu Gerbang Cilicia, Baldwin dari Boulogne bertolak dengan diri sendiri menuju ke kawasan orang Armenia di sekitar Sungai Furat. Di Edessa pada awal tahun 1098, dia diambil angkat sebagai pewaris oleh Raja Thoros, pemerintah Ortodoks Yunani yang tidak disukai rakyatnya yang berbangsa Armenia. Tidak lama kemudian Thoros dibunuh dan Baldwin menjadi pemerintah baru, dengan itu membentuk Wilayah Edessa, negeri Salibi pertama.

Pengepungan Antioch


Adhémar de Monteil yang memakai topi biskop sedang membawa Tombak Suci dalam satu pertempuran semasa Perang Salib Pertama

Sementara pasukan tentera salib mara ke Antioch yang terletak lebih kurang setengah jalan antara Constantinople dan Baitul Maqdis. Mereka tiba pada Oktober 1097 dan mengepungnya selama hampir lapan bulan, semasa tempoh mereka juga perlu menewaskan dua buah pasukan tentera bantuan yang besar di bawah pimpinan Duqaq dari Damsyik dan Ridwan dari Aleppo. Antioch sangat besar sehinggakan tentera salib tidak mempunyai askar yang cukup untuk mengepung keseluruhannya, dan dengan itu ia mampu bertahan menerima bekalan separa. Apabila pengepungan itu berlarutan, jelas bahawa Bohemond mahukan bandar itu untuk dirinya sendiri.

Pada Mei 1098, Kerbogha dari Mosul mendekati Antioch untuk memecahkan pengepungan itu. Bohemond merasuah seorang pengawal bandar itu yang berbangsa Armenia supaya menyerahkan menara kawalannya, dan pada Jun tentera salib memasuki bandar itu dan membunuh hampir kesemua penghuninya. Bagaimana pun, beberapa hari kemudian orang Islam tiba dan melancarkan pengepungan ke atas bekas para pengepung itu. Pada saat ini seorang rahib biasa bernama Peter Bartholomew]] telah mendakwa bahawa dia telah menemui Tombak Suci di dalam bandar itu, dan walaupun sebahagiannya berasa sangsi, ini telah dilihat sebagai satu petanda bahawa mereka akan menang.


Bohemond dari Taranto secara bersendirian memanjat baluarti Antioch, dalam turisan oleh Gustave Doré.

Pada 28 Jun, tentera salib menewaskan Kerbogha dalam satu pertempuran sengit di luar kota, kerana Kerbogha tidak mampu lagi menyusun atur pelbagai puak dalam pasukan tenteranya. Ketika tentera salib sedang mara kepada orang Islam, seksyen Fatimiyah dalam pasukan tentera itu meninggalkan kontigen Turki itu kerana mereka bimbang Kerbogha akan menjadi terlalu berkuasa sekiranya dia berjaya menewaskan tentera salib. Menurut lagenda, sepasukan tentera wali-wali Kristian datang membantu tentera salib semasa pertempuran dan memporak-perandakan pasukan tentera Kerbogha.

Bohemond berhujah bahawa Alexius telah meninggalkan tentera salib dan dengan itu membatalkan semua sumpah setia mereka kepadanya. Bohemond mempertahankan tuntutannya ke atas Antioch, tetapi tidak semua bersetuju, terutamanya Raymond dari Toulouse, dan perang salib ditangguhkan selama sepanjang tahun itu manakala para bangsawan bertelagah sesama sendiri. Menjadi anggapan historiografi yang umum bahawa tentera Frank dari utara Perancis, tentera Provence dari selatan Perancis dan tentera Norman dari selatan Itali menganggap diri mereka adalah "bangsa-bangsa" berasingan dan bahawa masing-masing mahu menaikkan status masing-masing. Ini mungkin berkaitan dengan pertelagahan itu, tetapi keinginan perseorangan sahaja nampaknya yang dipersalahkan.

Sementara itu, satu wabak (berkemungkinan tifus) telah melanda dan membunuh ramai orang termasuklah Adhemar. Sekarang bilangan tentera lebih kecil daripada kuda berbanding sebelum ini, dan petani-petani Islam enggan memberi makanan kepada mereka. Pada Disember, penawanan bandar Arab Ma'arrat al-Numan pun berlaku, dan dengannya terjadi insiden kanibalisme oleh tentera salib yang pertama diketahui. Askar-askar dan kesatria bawahan kekurangan rehat dan mengancam untuk terus ke Baitul Maqdis tanpa ketua-ketua mereka yang sering bergaduh. Akhirnya, pada awal tahun 1099, perbarisan itu diperbaharui dengan meninggalkan Bohemond di belakang sebagai penguasa Antioch yang pertama.

Pengepungan Baitul Maqdis

Sambil mara ke pantai Mediterranean, tentera salib hanya menerima sedikit tentangan, kerana pemerintah-pemerintah tempatan lebih suka membuat perjanjian damai dengan mereka dan memberi mereka bekalan berbanding melawan. Pada 7 Jun tentera salib sampai di Baitul Maqdis yang ditawan kembali daripada orang Seljuk oleh kerajaan Fatimiyyah Mesir setahun yang lalu. Ramai tentera salib menangis apabila memandang kota yang disebabkannya mereka telah membuat perjalanan yang begitu panjang untuk sampai.

Seperti di Antioch, tentera salib membuat pengepungan panjang ke atas kota ini yang di situ tentera salib menderita banyak kesusahan disebabkan kekurangan makanan dan air di sekitar Baitul Maqdis. Daripada 7,000 orang kesatria yang mengambil bahagian dalam Perang Salib Pengiran, hanya 1,500 orang yang tinggal. Berdepan dengan tugasan yang kelihatannya mustahil, moral mereka meningkat apabila seorang paderi bernama Peter Desiderius, telah mendakwa mempunyai mimpi ilahi yang menyuruh mereka supaya berpuasa dan kemudian mara dalam perarakan sambil berkaki ayam di sekeliling dinding kota itu, yang akan jatuh ke tangan mereka selepas sembilan hari, menurut contoh Joshua dalam Bible semasa mengepung Jericho. Pada 8 Julai 1099, tentera salib melaksanakan perarakan seperti yang diarahkan Desiderius. Askar-askar Genoa yang dipimpin oleh komander Guglielmo Embriaco mencerai-beraikan kapal-kapal yang dinaiki orang Genoa untuk datang ke Tanah Suci sebelumnya; Embriaco menggunakan kayu kapal-kapal itu untuk membina beberapa menara-menara pengepung dan tujuh hari kemudian pada 15 Julai, tentera salib dapat mengakhiri pengepungan itu dengan memecahkan bahagian-bahagian dinding dan masuk ke dalam kota itu. Sesetengah tentera salib juga masuk melalui pintu masuk jemaah haji terdahulu.

Sepanjang tengahari dan petang hari itu serta pagi keesokannya, tentera salib membunuh hampir keseluruhan penghuni Baitul Maqdis. Orang Islam, Yahudi dan malahan orang Kristian Timur semuanya dibunuh beramai-beramai. Walaupun ramai orang Islam mencari perlindungan di Masjid al-Aqsa dan orang Yahudi di sinagog mereka di Tembok Barat, tentera salib hanya membiarkan sedikit sahaja yang hidup. Menurut Gesta Francorum yang tidak diketahui penulisnya, yang dipercayai sesetengah orang sebagai laporan yang dibesar-besarkan mengenai pembunuhan beramai-ramai itu yang kemudiannya berlaku di situ, "...penyembelihan itu sangat hebat sehinggakan orang-orang kita mengharungi lautan darah sehingga ke takat buku lali mereka..."[4]. Laporan-laporan lain mengenai darah yang mengalir sehingga ke takat kekang kuda ialah kenangan satu petikan daripada Book of Revelation (14:20). Tancred menuntut hak Temple of Mount untuk dirinya sendiri dan menawarkan perlindungan kepada sebahagian orang Islam di situ, namun dia tidak mampu menghalang kematian mereka di tangan konco-konco tentera salibnya. Menurut Fulcher dari Chartres: "Sememangnya, jika kamu berada di sana kamu akan menyaksikan kaki kami diwarnai dengan darah mereka yang dibunuh sehingga ke buku lali. Tetapi apa yang saya dapat ceritakan lagi? Tiada seorang pun daripada mereka yang dibiarkan hidup; tiada wanita mahupun kanak-kanak dibiarkan hidup".[5]

Bagaimana pun, Gesta Francorum menyatakan bahawa sesetengah penduduk berupaya menyelamatkan diri daripada pengepungan dengan selamat. Penulisnya menulis, "Apabila orang jahiliyah itu (yakni orang Islam) telah dapat ditundukkan, orang-orang kita menawan sejumlah yang besar, lelaki dan wanita, samada membunuh mereka atau menjadikan mereka sebagai tawanan perang, menurut suka hati mereka".[6] Kemudian, tertulis, "Para pemimpin kami juga mengarahkan semua mayat Saracen dilempar ke luar kota disebabkan bau busuk yang amat sangat, kerana keseluruhan kota dipenuhi dengan mayat-mayat mereka; dan orang Saracen yang masih hidup dipaksa mengheret mayat-mayat sehingga pintu keluar gerbang kota dan menyusun mereka secara longgokan, seolah-seolah rumah. Tiada seorang pun yang pernah menyaksikan atau mendengar penyembelihan orang jahiliyah itu (yakni orang Islam) sebegitu, kerana unggun bakar mayat dibentuk daripada mereka seperti piramid, dan tiada seorang pun yang mengetahui bilangan mereka kecuali Tuhan sendiri".


Godfrey dari Bouillon sebagai Pelindung Baitul Maqdis. Gelaran rasminya ialah Advocatus Sancti Sepulchri (Pelindung Kuburan Suci)

Raymond dari Toulouse ditawarkan dengan hak kerajaan Baitul Maqdis namun dia menolak sambil berkata bahawa dia tidak akan memakai "mahkota emas" di tempat al-Masih telah memakai "mahkota duri". Dalam beberapa selepas pembunuhan beramai-ramai itu, Godfrey dari Bouillon dilantik sebagai Advocatus Sancti Sepulchri (Pelindung Kuburan Suci). Dalam aksi terakhir perang salib ini, dia memimpin sepasukan tentera yang menewaskan sepasukan tentera Fatimiyyah yang datang menyerang semasa Pertempuran Ascalon. Godfrey meninggal dunia pada Julai 1100 dan digantikan oleh adik lelakinya Baldwin dari Edessa yang mengambil gelaran Raja Baitul Maqdis.

Perang Salib Tahun 1101 dan penubuhan kerajaan Baitul Maqdis

Dengan penawanan Baitul Maqdis dan Kuburan Suci, ikrar perang salib kini telah dipenuhi. Bagaimana pun, terdapat ramai yang pulang ke kampung halaman sebelum sempat sampai di Baitul Maqdis, dan ramai juga yang tidak pernah meninggal Eropah sama sekali. Apabila kejayaan perang salib ini diketahui, mereka ini dipersenda-senda dan dicemuh oleh keluarga mereka dan diancam dengan kucilan daripada gereja oleh para pendeta. Ramai tentera salib yang kekal bersama dengan perang salib sepanjang jalan ke Baitul Maqdis juga pulang ke kampung halaman; menurut Fulcher dari Chartres, hanya ratusan orang kesatria yang tinggal dalam kerajaan yang baru ditubuhkan itu pada tahun 1101. Pada tahun 1101, satu lagi perang salib dilancarkan, termasuklah Stephen dari Blois dan Hugh dari Vermandois, kedua-duanya pulang ke kampung halaman sebelum sempat sampai di Baitul Maqdis. Perang salib ini hampir-hampir digagalkan oleh orang Seljuk di Asia Kecil, tetapi mereka yang terselamat membantu memperkukuhkan kerajaan Baitul Maqdis apabila mereka tiba di kota tersebut. Pada tahun-tahun berikutnya, bantuan juga disediakan oleh pedagang-pedagang Itali yang menempatkan diri sendiri di pelabuhan-pelabuhan Syria, dan dari order-order keagamaan dan ketenteraan seperti Knights Templar dan Knights Hospitaller yang dicipta semasa era pemerintahan Baldwin I.

No comments:

Post a Comment