Sunday, March 27, 2011

Analisis Perang Salib Pertama

Kesan

Kejayaan Perang Salib Pertama adalah luar biasa. Kestabilan yang baru dicapai di Barat meninggalkan lapisan aristokrat pahlawan dalam mencari penaklukan dan patrimoni baru, dan kemakmuran baru di bandar-bandar utama juga bermakna bahawa wang tersedia untuk membiayai ekspedisi-ekspedisi. Negara-negara kota maritim Itali, khususnya Venice dan Genoa, berminat dalam perluasan perdagangan. Pihak Pope melihat perang salib sebagai satu cara untuk mengukuhkan pengaruh Katolik sebagai kuasa penyatu, dengan peperangan sebagai satu misi agama. Ini merupakan satu sikap baru terhadap agama: ia membawa disiplin agama yang dahulunya terpakai hanya kepada para rahib, kepada ketenteraan—konsep baru mengenai pahlawan keagamaan dan etika kesatriaan.

Perang Salib Pertama berjaya menubuhkan "negeri-negeri Salibi" seperti Wilayah Edessa, Wilayah Antioch, Kerajaan Baitul Maqdis dan Wilayah Tripoli di Palestin dan Syria.

Berbalik ke kampung halaman di Eropah Barat, mereka yang selamat sampai di Baitul Maqdis telah dilayan sebagai hero. Robert dari Flanders telah diberi nama timangan "Hierosolymitanus" kerana kehandalannya. Riwayat hidup Godfrey dari Bouillon menjadi lagenda hanya beberapa tahun selepas kematiannya. Dalam sesetengah kes, situasi politik di kampung halaman parah dengan teruk akibat ketiadaan tentera salib: ketika Robert Curthose berada di luar, England diserahkan kepada adiknya Henry I dari England, dan konflik mereka mengakibatkan Pertempuran Tinchebrai pada tahun 1106.

Sementara itu, penubuhan negeri-negeri Salibi di Timur membantu mengurangan tekanan Seljuk ke atas Empayar Byzantine yang memperoleh semula sebahagian daripada wilayah Anatolianya dengan bantuan tentera salib dan menikmati satu tempoh yang agak aman dan makmur pada kurun ke-12. Kesan terhadap dinasti-dinasti Islam di Timur adalah beransur-ansur tetapi penting. Ekoran daripada kematian Malik Shah I pada tahun 1092, ketidakstabilan politik dan perpecahan Seljuk Raya yang dahulunya telah memaksa Byzantine meminta bantuan daripada Pope, telah melemahkan pertahanan yang koheren daripada seranga negeri-negeri Latin yang agresif. Kerjasama antara mereka kekal sukar buat beberapa dekad, tetapi dari Mesir hingga ke Syria dan Baghdad terdapat seruan-seruan bagi pengusiran tentera salib yang memuncak dengan penawanan semula Baitul Maqdis di bawah Salahuddin al-Ayyubi kemudiannya dalam kurun apabila Bani Ayyub menyatukan kawasan-kawasan sekeliling.

Sebab-sebab Pope Urban II membuat seruan Perang Salib di Tanah Suci ialah untuk mendapatkan semula kekuasaan rohani agung pihak Pope di dunia Kristian Latin sambil meluaskan kuasa realpolitiknya. Dia gagal untuk merapatkan jurang perpecahan yang semakin membarah antara gereja Timur dan Barat serta secara tidak sengaja, dengan penjarahan Constantinople semasa perang-perang salib terkemudian, sebenarnya telah memperkuatkan lagi perpecahan itu. Perang Salib juga secara ketenteraan telah membantu Empayar Byzantine yang semakin lemah itu dengan menangkis ancaman Seljuk yang semakin bertambah dari Tanah Suci dan membentuk kerajaan-kerajaan perseorangan kecil.

Rombongan-rombongan haji

Walaupun perang ini dipanggil sebagai Perang Salib Pertama, tiada seorang pun yang melihat diri sendiri sebagai seorang "tentera salib". Istilah perang salib ialah istilah awal kurun ke-13 yang pertama kali muncul di Latin lebih daripada 100 tahun selepas Perang Salib Pertama. Tentera salib sendiri tidak melihat diri mereka sebagai golongan pertama, kerana mereka tidak tahu bahawa akan ada lagi perang salib sesudah itu. Mereka hanya melihat diri mereka sebagai jemaah haji (pilgrim, peregrinatores) yang berada dalam satu perjalanan (iter), dan dirujuk sebegitu dalam laporan-laporan sezaman.

Janji setia kepada gereja untuk menyempurnakan perjalanan itu, dan hukuman pengucilan jika seseorang gagal untuk berbuat demikian adalah faktor-faktor kuat pelaksanan perang salib sebagai ibadat haji rasmi. Tentera salib bersumpah bahawa perjalanan mereka hanya akan sempurna apabila mereka menjejakkan kaki di dalam Kuburan Suci di Baitul Maqdis. Ibadat haji terbuka kepada semua orang yang ingin mengambil bahagian, oleh itu calon-calon yang tidak berkeinginan, wanita-wanita, golongan tua dan tidak berdaya tidak digalakkan untuk menyertai namun tiada cara untuk menghalang mereka.

Populariti Perang Salib

Perang Salib telah menarik perhatian bilangan terbesar petani-petani dan apa yang bermula sebagai seruan kecil bagi bantuan ketenteraan berubah kepada perpindahan besar-besaran orang awam. Seruan pergi menyertai perang salib adalah sangat popular. Dua buah peranan zaman pertengahan, pahlawan suci dan pehaji, bergabung menjadi satu. Seperti seorang pahlawan suci berjuang dalam perang suci, seseorang akan membawa senjata dan berjuang demi Gereja dengan faedah-faedah rohaninya termasuklah hak istimewa memperolehi surat pengampunan atau kesyahidan sekiranya seseorang terkorban dalam pertempuran.

Sama seperti seorang pehaji yang dalam ibadat haji, seorang tentera salib berhak menerima layanan baik dan perlindungan perseorangan bagi diri dan harta oleh pihak Gereja. Faedah-faedah surat pengampunan adalah dua, bagi berjuang sebagai seorang perwira Gereja dan berkelana sebagai pehaji. Oleh itu, surat pengampunan dapat diberikan tidak kira samada seseorang itu masih hidup atau telah mati. Namun perang salib bukanlah surat pengampunan pada erti kata Zaman Pertengahan, surat-surat pengampunan Zaman Pertengahan dijualbeli. Perang salib bukan satu penyelesaian mudah bagi dosa-dosa tetapi satu bentuk keinsafan kerana ia ditunaikan secara sukarela dan merupakan sejenis hukuman paksa diri. Perbezaan genting ini mengasingkan surat pengampunan Zaman Pertengahan dan idea asal perang salib.

Di samping itu, terdapat kewajipan-kewajipan feudal disebabkan ramai tentera salib pergi berperang kerana mereka dikehendaki berbuat demikian oleh tuan mereka. Golongan miskin mencari panduan daripada kaum bangsawan tempatan dan jika seorang aristokrat yang berpengaruh dapat menggerakkan orang lain untuk menyertai perang itu. Hubungan dengan seorang pemimpin yang kaya dapat membantu petani biasa untuk menyumbang dan memperolehi sedikit perlindungan semasa perjalanan, tidak seperti mereka yang menunaikan ikrar secara bersendirian. Terdapat juga kewajipan keluarga, dengan ramai orang menyertai perang salib untuk menyokong kaum kerabat yang juga membuat ikrar perang salib. Sebahagian kaum bangsawan termasuklah beberapa orang raja dan pewaris takhta yang dilarang menyertai disebabkan kedudukan mereka. Semua faktor ini telah menggerakkan orang-orang yang berbeza untuk sebab-sebab yang berbeza-beza dan menyumbang pada populariti perang salib.

Ganjaran kerohanian/akhirat lawan ganjaran kebendaan/dunia

Seruan kepada perang salib datang pada masa ketika tahun-tahun hasil tuaian yang baik yang telah meningkatkan populasi Eropah Barat menyebabkan pasukan tentera dunia Kristian yang lebih besar memulakan penaklukan semula dan perang salib ini. Walau bagaimana pun, tarikan untuk mencuba hidup baru di Timur yang jauh lebih menjanjikan kejayaan menyebabkan ramai orang meninggalkan tanah mereka. Populasi yang semakin berkembang bererti bahawa Eropah bukan lagi sebuah tempat yang dapat menyediakan peluang besar sama sekali dan kebarangkalian untuk memperolehi sesuatu samada yang berbentuk rohani, politik atau ekonomi menggoda ramai peserta.

No comments:

Post a Comment