Sunday, March 27, 2011

Latar belakang

Asal-usul Perang Salib amnya, dan Perang Salib Pertama khususnya, berpunca dari peristiwa-peristiwa yang berlaku lebih awal pada Zaman Pertengahan. Kejatuhan Empayar Carolingin pada kurun-kurun sebelumnya, ditambah pula dengan kestabilan perbatasan-perbatasan Eropah yang agak baik setelah pengkristianan bangsa Viking dan Maygar, telah menyebabkan kemunculan kelompok kesatria yang hanya asyik berperang sesama sendiri.

Sehingga awal kurun ke-8, Bani Umaiyyah dengan pantas menawan Afrika Utara, Mesir, Palestin, Syria, dan Sepanyol dari kekuasaan Empayar Byzantine yang beragama Kristian. Semasa kurun ke-9, Reconquista mengambil potensi ideologi yang dianggap sebagai contoh pertama bagi usaha bersama orang Kristian untuk menawan kembali wilayah yang dilihat sebagai jatuh ke tangan orang Islam, sebagai sebahagian usaha perluasan kerajaan Kristian sepanjang Teluk Biscay. Kerajaan-kerajaan bangsa Sepanyol, gerombolan-gerombolan kesatria dan tentera upahan mula berkerah dari seluruh Eropah untuk menentang Bani Umaiyyah yang masih wujud di Cordoba.

Kerajaan-kerajaan Islam lain yang muncul akibat kejatuhan Bani Umaiyyah pada kurun ke-8, seperti Bani Aghlabiyah, memasuki Itali pada kurun ke-9. Kerajaan Bani Kalb yang muncul di kawasan tersebut tetapi menjadi lemah akibat pergolakan dalaman, menjadi mangsa bangsa Norman yang menakluki Sicily pada tahun 1091. Pisa, Genoa dan Aragon mula memerangi kerajaan-kerajaan Islam lain untuk merebut penguasaan ke atas Mediterranean, seperti yang ditunjukkan oleh Kempen Mahdia serta pertempuran-pertempuran di Mallorca dan Sardinia.

Idea sebuah perang suci menentang orang Islam nampaknya dapat diterima oleh kuasa-kuasa sekular dan keagamaan Eropah Zaman Pertengahan, dan juga khalayak umum secara amnya, kerana beberapa alasan, seperti kejayaan-kejayaan ketenteraan oleh kerajaan-kerajaan Eropah sepanjang Mediterranean. Di samping itu, wujud konsep politik Dunia Kristian yang sedang bangkit yang menyaksikan penyatuan kerajaan-kerajaan Kristian di bawah seliaan Pope buat kali pertama (dalam Zaman Pertengahan) dan pembentukan sebuah ketumbukan tentera Kristian untuk memerangi orang Islam. Akhir sekali, Baitulmuqaddis beserta dengan tanah-tanah di sekelilingnya termasuklah tempat-tempat Nabi Isa menjalani kehidupan baginda, adalah suci kepada orang-orang Islam dan Kristian.

Dalam tahun 1074, Paus Gregory VII membuat seruan milites Christi (askar-askar al-Masih) untuk pergi membantu Empayar Byzantine di Timur. Empayar Byzantium telah mengalami kekalahan teruk di tangan bangsa Turki Seljuk dalam Pertempuran Manzikert tiga tahun sebelumnya. Seruan ini, walaupun diabaikan malahan ditentang, yang ditambah dengan bilangan ziarah yang besar ke Tanah Suci pada kurun-11, memfokuskan perkara berkenaan perhatian kepada Timur. Gesaan rahib-rahib seperti Peter the Hermit dan Walter the Penniless yang menyebarkan cerita-cerita orang Islam mengganggu jemaah haji Kristian yang menziarahi Baitul Maqdis dan tapak-tapak suci lain, selanjutnya menyemarakkan lagi semangat Perang Salib. Pope Urban II adalah orang pertama yang menyebarkan idea Perang Salib untuk menawan Tanah Suci kepada khalayak umum. Sebaik sahaja selesai mendengar ucapan Urban II yang penuh dramatik dan rangsangan, para bangsawan dan paderi yang hadir mula melaungkan perkataan yang terkenal, Deus vult (Tuhan menghendakinya).

Keadaan Timur pada akhir kurun ke-11


Khilafah Bani Umayyah pada saat perluasan terbesarnya

Jiran terdekat Eropah Barat di tenggara adalah Empayar Byzantium, rakan seagama tetapi telah lama mengikuti mazhab Ortodoks. Di bawah pemerintahan Maharaja Alexios I Komnenos, empayar tersebut terbatas sehingga ke Eropah dan pantai barat Anatolia, dan menghadapi banyak musuh; bangsa Norman di barat dan bangsa Seljuk di timur. Jauh ke timur, Anatolia, Syria, Palestin, dan Mesir semuanya berada dalam kekuasaan orang Islam. Tetapi wilayah-wilayah ini berpecah-belah dalam politik, dan dalam sesetengah kes, budaya pada masa Perang Salib Pertama, yang pastinya menyumbang kepada kejayaan Perang Salib. Anatolia dan Syria dikuasai bangsa Seljuk yang bermazhab Sunnah, pada asalnya dalam sebuah empayar yang besar (Seljuk Raya) akan tetapi pada saat ini berpecah kepada negeri-negeri kecil. Alp Arslan telah menewaskan tentera Empayar Byzantium di Manzikert pada tahun 1071 dan menyerap masuk banyak kawasan di Anatolia ke dalam Seljuk Raya, akan tetapi empayar ini berpecah akibat perang saudara, dan setelah kematian Malik Shah I pada tahun 1092. Dalam Kesultanan Rum di Anatolia, Malik Shah diwarisi oleh Kilij Arslan I dan di Syria oleh saudaranya, Tutush I yang meninggal dunia pada tahun 1095. Putera-putera Tutush I, Ridhwan dan Duqaq masing-masing mewarisi Aleppo (Halab) dan Damsyik. Ini memebahagi-bahagikan Syria di kalangan para amir yang saling berlawan antara satu sama lain, juga dengan Kerbogha, atabeg Mosul. Negeri-negeri ini lebih berminat untuk mengukuhkan wilayah-wilayah masing-masing dan mendapatkan penguasaan ke atas negeri-negeri jiran, berbanding saling bekerjasama menentang tentera Salib. Di kawasan lain dalam wilayah Seljuk, dinasti Artuqid menguasai barat daya Syria dan utara Mesopotamia. Mereka menguasai Baitul Maqdis sehingga tahun 1098. Di timur Anatolia dan utara Syria, sebuah negeri diasaskan oleh dinasti Danishmend, tentera upahan Seljuk. Tentera Salib tiada pertembungan bermakna dengan kedua-dua kumpulan ini hingga selepas Perang Salib. Puak Hashshashin juga mula menjadi penting dalam permasalahan Syria.

Ketika Palestin berada di bawah kekuasaan Empayar Parsi dan pemerintahan Islam awal, jemaah haji Kristian ke Tanah Suci pada umumnya dilayan dengan baik. Pemerintah Islam awal, Khalifah Umar ibn al-Khattab membenarkan orang Kristian melaksanakan upacara mereka. Pun begitu, bermula pada awal kurun ke-11 Khalifah Syiah Fatimiyyah di Mesir, al-Hakim bi Amrillah mula menganiaya orang Kristian Palestin dan membakar banyak bangunan Kristian. Pada tahun 1009, al-Hakim memusnahkan makam Kristian yang paling suci, Kuburan Suci (Holy Sepulcher). Al-Hakim akhirnya berlembut hati dan menghentikan pembunuhan dan pembakaran, sebaliknya mengenakan cukai tol ke atas jemaah haji Kristian yang mahu memasuki Baitul Maqdis. Namun begitu, tiba perkara terburuk. Sekumpulan orang Islam berbangsa Turki, orang Seljuk yang sangat kuat, agresif dan penganut Islam yang sangat tegas, mula mencapai kuasa. Orang Seljuk memandang jemaah haji Kristian dengan pandangan negatif sebagai kotor dan 'kasar' terhadap penganut Kristian Palestin. Cerita-cerita penganiayaan itu mula disaring kembali ke Dunia Kristian Latin; berbanding melemahkan semangat jemaah haji itu, ia membuatkan haji ke Tanah Suci menjadi lebih suci.

Mesir dan sebahagian besar Palestin dikuasai Kerajaan Syiah Fatimiyah yang kecil empayarnya sejak ketibaan kuasa Seljuk; Alexius I telah menasihati tentera Salib supaya bekerjasama dengan kerajaan Fatimiyah menentang musuh mereka yang sama, orang Seljuk. Pada ketika ini, kerajaan Fatimiyah yang diperintah oleh Al-Musta'li (kuasa sebenar dipegang oleh wazir Al-Afdal Shahanshah), kehilangan Baitul Maqdis ke tangan orang Seljuk pada tahun 1076, tetapi menawan kembali kota tersebut dari tangan orang Artuqid dalam tahun 1098 ketika tentera Salib dalam perjalanan. Pada mulanya, kerajaan Fatimiyah menganggap tentera Salib sebagai satu ancaman, hanya menganggap mereka dihantar oleh Byzantine dan mereka berpuas hati dengan penawanan Syria serta membiarkan Palestin bersendirian; kerajaan Fatimiyah tidak mengirim bala tentera menentang tentera Salib hinggalah tentera Salib itu sudah tiba di Baitul Maqdis.

No comments:

Post a Comment